Google

Sunday, June 10, 2007

JIKA ANAK ANDA MENDAPAT 70/100

RAMAI ibu bapa hari ini bimbang jika anak-anak mereka tidak mendapat markah melebihi 80%. Bagi mereka angka 80 itu adalah angka sempadan yang cukup dijaga. Itulah angka yang masih membolehkan anak-anak mereka mencapai A dalam sesuatu subjek. Tiba-tiba ditakdirkan anak anda mendapat 70% atau kurang daripada itu. Apa perasaan anda? Sesetengah ibu bapa berasa anak mereka sudah gagal. 70% menjadikan mereka takut dan mengigau. Bagi mereka 70% itu lebih penting daripada 30% lagi. Sebenarnya anak-anak anda tidak gagal. Anak-anak anda hebat kerana dalam bahagian-bahagian tertentu dia telah menguasai 70%. Dia hanya kehilangan 30% daripada markah keseluruhan. Ibu bapa patut tahu 30% yang hilang itu, bukannya meracau dengan 70%. Saya umpamakan pencapaian seseorang pelajar dalam sesuatu subjek seperti keadaan sebiji buah durian. Jika ada satu pangsa durian rosak, jangan buang semuanya. Mungkin ada banyak lagi pangsa yang elok isinya. Buang sahaja ulas yang rosak itu. Markah anak-anak kita yang hilang itu masih boleh dikesan dan diperbaiki. Beri tumpuan kepada topik yang lemah itu. Buat latih tubi menjawab soalan untuk bahagian itu. Seseorang guru patut rekod prestasi murid mereka yang menunjukkan dengan jelas bahagian mana selalu gagal atau mendapat markah yang kurang. Ini seolah-olah memberi petunjuk kepada guru dan pelajar berkenaan untuk bertindak dari sekarang dengan memperbaiki kelemahan pada bahagian itu. Dengan mengenal pasti lubuk kelemahan, memudahkan seseorang pelajar melakukan tindakan proaktif bagi mengatasi kelemahan itu. Sebab itu apabila anak kita gagal mendapat markah 100%, bukan bererti pelajar itu lemah dalam subjek itu. Pelajar tu bukan lemah dalam subjek tersebut, tetapi lemah dalam bahagian tertentu sahaja. Lemah dalam satu aspek bukan bererti lemah dalam keseluruhan subjek. Jika kita menyatakan anak kita lemah dalam subjek itu, itulah bebanan yang diletakkan di bahu anak kita. Mereka tidak wajar dihukum untuk itu.

No comments: